Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Sokongan Keluarga

BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK), MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA

bahagian sokongan keluarga iconLATAR BELAKANG

Seringkali perintah yang dikeluarkan mahkamah tidah dipatuhi dan diabaikan oleh pihak yang menerima atau dikenakan perintah tersebut. Keadaan ini menyebabkan perintah yang dikeluarkan tidak memberi apa-apa kesan positif atau tidak dapat melindungi kepentingan anak-anak yang masih di bawah tanggungan. Suatu perintah atau keputusan mahkamah tidak memberi apa-apa makna tanpa penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah mahkamah tersebut.
Menyedari keruncingan masalah-masalah pengabaian perintah mahkamah syariah berkaitan pembayaran nafkah anak, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-46 yang dipengerusikan oleh Y. A. B Perdana Menteri pada 7 Jun 2007 telah memutuskan agar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Keputusan ini telah direalisasikan pada bulan Oktober 2008 apabila BSK ditubuhkan dengan fungsi yang dijalankan oleh 3 Unit iaitu Unit Khidmat Nasihat Perundangan, Unit Pengurusan Dana dan Unit Penguatkuasaan Dan Pelaksanaan Perintah.

PERKHIDMATAN BSK :

  1. Memberi nasihat perundangan Syariah kepada pihak-pihak secara khusus berkaitan tuntutan nafkah serta tatacara penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman atau perintah selepas suatu penghakiman atau perintah dibuat oleh Mahkamah Syariah;
  2. Melaksanakan tugas Peguam Syarie Dan Bailif dalam pelaksanaan penghakiman dan penguatkuasaan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Syariah berkaitan dengan nafkah bagi memastikan sesuatu perintah dapat dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua pihak;
  3. Melaksanakan pengurusan pentadbiran yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman atau perintah Mahkamah Syariah antara Negeri-Negeri berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan; dan
  4. Menguruskan bantuan kewangan sementara melalui sumber yang diharuskan Syarak melalui tapisan kelayakan, laporan khidmat nasihat untuk pertimbangan Jawatankuasa Akaun Amanah bagi membantu Pemiutang Penghakiman terutamanya isteri dan anak-anak yang menjadi mangsa kegagalan pembayaran nafkah oleh Penghutang Penghakiman.

OBJEKTIF :

1. Menguatkuasakan semua perintah nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah;
2. Memastikan tiada isteri dan atau anak yang menghadapi masalah tuntutan nafkah;
3. Memastikan perintah Mahkamah Syariah dihormati dan dilaksanakan;
4. Memberikan khidmat sokongan kepada keluarga Islam dalam semua hal yang melibatkan Mahkamah Syariah;

FUNGSI :

1. Memberi khidmat nasihat perundangan kepada orang Islam mengenai hak dan tuntutan di mahkamah syariah terutama mengenai isu nafkah;
2. Melaksanakan penguatkuasaan penghakiman atau penghakiman atau perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah;
3. Menyalurkan bantuan sara hidup sementara kepada isteri atau isteri dan anak-anak yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah dari pihak yang wajib membayar nafkah;
4. Menjadi agen mengutip dari pihak yang diperintahkan membayar nafkah;
5. Menyalurkan nafkah kepada pihak yang berhak mendapat nafkah;
6. Mencari dan mengumpul dana bagi keperluan pembayaran nafkah yang tidak mencukupi.

TIGA UNIT TERAS SBSK MELAKA:

A) UNIT KHIDMAT NASIHAT DAN PERUNDANGAN (UKNP)

Bertanggungjawab mengendalikan sesi khidmat nasihat kepada pelanggan BSK iaitu pengadu dalam kes tuntutan nafkah anak. Unit ini juga mengeluarkan notis untuk memanggil bekas suami atau bapa kepada anak tersebut hadir untuk tujuan siasatan tentang pematuhan perintah nafkah anak seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah. Jika didapati bekas suami atau bapa kepada anak tersebut telah gagal untuk mematuhi perintah yang dikeluarkan, pegawai BSK di unit ini akan menjalankan satu proses perbincangan yang dinamakan mediasi. Jika bekas suami tidak hadir pada sesi tersebut, UKNP akan menyalurkan kes tersebut kepada UPPP untuk proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah dijalankan.

Dalam proses mediasi, Pegawai BSK berperanan sebagai pemudah cara kepada pihak-pihak untuk berkomunikasi dengan berkesan bagi mencari persetujuan bersama antara kedua-dua pihak. Sekiranya persetujuan berjaya dicapai, maka satu perjanjian penyelesaian akan disediakan untuk ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Sekiranya tiada persetujuan dicapai, tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah akan dimulakan oleh Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (UPPP). Sementara menunggu proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah diselesaikan, pegawai BSK di UKNP akan mencadangkan kepada Unit Pengurusan Dana (UPD) agar pendahuluan nafkah anak dibayar mengikut kadar nafkah yang telah diputuskan dalam perintah.

B) UNIT PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN PERINTAH (UPPP)

UPPP berperanan menjalankan tugas sebagai Peguam Syarie dalam mendapatkan perintah penguatkuasaan daripada Mahkamah Syariah yang berkaitan serta tugas Bailif bagi menjalankan kaedah-kaedah pelaksanaan perintah yang diputuskan oleh Mahkamah. Proses untuk menguatkuasa dan melaksanakan perintah nafkah melibatkan 3 peringkat seperti berikut:

Peringkat Pertama : Pra Perbicaraan

UPPP menerima kes yang berjaya diselesaikan namun tidak dipatuhi atau kes yang gagal rundingcara diperingkat UKNP dan akan menetukan jenis tindakan Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah mengikut salah satu bentuk tindakan seperti dibawah:

a) Penguatkuasaan penghakiman bagi pembayaran wang
i) Penyitaan dan Penjualan
ii) Prosiding Hiwalah

b) Penguatkuasaan penghakiman bagi pemilikan harta tak alih:

i) Perintah Pemilikan
ii) Pengkomitan dibawah Seksyen 151 Enakmen/Akta

c) Penguatkuasaan penghakiman bagi penghantarserahan harta alih

i) Perintah Pengantarserahan
ii) Pengkomitan dibawah Seksyen 151 Enakmen/Akta

d) Peruntukan Khas – Saman Penghutang Penghutang

e) Notis Menunjukkan Sebab

Selepas tindakan perundangan dikenalpasti, pegawai BSK di UPPP akan menyediakan pliding berkaitan untuk difailkan ke mahkamah dan mendapatkan tarikh sebutan kali pertama di mahkamah.

Peringkat Kedua : Perbicaraan

Pegawai BSK yang diberi tauliah sebagai Peguam Syarie akan menghadiri dan mengendalikan perbicaraan kes di mahkamah mengeluarkan Perintah Penguatkuasaan dan perlaksanaan Perintah.

Peringkat Ketiga : Pasca Perbicaraan

a) UPPP akan menfailakn deraf perintah yang diperolehi ke mahkamah dan akan dikendalikan sehingga perintah bersih diperolehi.

b) Peguam Syarie menyerahkan perintah yang diperoleh kepada pegawai BSK yang diberi lantikan Bailif untuk melaksanakan perintah pelaksanaan.

c) Bailif akan melaksanakan perintah pelaksanaan yang berkaitan mengikut prosedur undang-undang yang telah ditetapkan (Manual Kerja bailiff). Jumlah wang yang diperoleh daripada tindakan bailiff akan diserahkan kepada Pemiutang Penghakiman dan lebihan wang yang diperolehi dari tindakan pelaksanaan Bailif akan dikembalikan kepada penghutang penghakiman mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.

C) UNIT PENGURUSAN DANA (UPD)

Bertanggungjawab untuk membuat pembayaran pendahuluan nafkah kepada ibu dan anak-anak berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh UKNP. Seterusnya UPD akan membuat siasatan untuk menentukan kesahihan butiran yang dikemukan pengadu. Cadangan kelulusan pembayaran dana pendahuluan nafkah akan dibuat jika pelanggan didapati menepati kriteria dan syarat tertentu, khususnya kebarangkalian mendapatkan semula dana pendahuluan nafkah yang telah disalurkan. Cadangan bayaran pendahuluan nafkah akan dibentangkan untuk pertimbangan Jawatankuasa Akaun Amanah mengikut amaun nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah.

Pendahuluan bayaran nafkah ini bukanlah sebagai satu bayaran terus atau hapus kira kepada pemohon/penerima, sebaliknya ia akan dikutip semula daripada bekas suami/bapa yang telah gagal memberi nafkah kepada anak-anak mereka melalui prosiding penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di Mahkamah Syariah. Dana pendahuluan nafkah ini akan dibayar dalam tempoh enam bulan sahaja bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung bekas isteri/ibu.