Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2019

YAA Tuan Mohd Nadzri bin Abdul Rahman

Bismillah &  Salam 

Salam Sejahtera,

          Alhamdulillah, ucapan syukur kepada Allah S.W.T. atas nikmat yang tidak terperi, selawat dan salam atas Nabi junjungan kasih yang tidak bertepi, begitu juga kepada ahli keluarganya, para sahabat dan pengikutnya sehingga ke hari kiamat. Selamat tahun baru 2019 diucapkan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka, ucap selamat ini juga ditujukan kepada semua pelanggan yang telah menyokong mahkamah syariah sebagai institusi keadilan negeri ini, juga kepada semua pihak yang sentiasa mengambil maklum perkembangan Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

          Dengan izin Allah S.W.T. kita telah berjaya mengharungi tahun 2018 yang banyak memberi pengajaran dan kini melangkah ke tahun 2019 yang lebih mencabar. Dengan keikhlasan dan semangat yang telah dipamerkan tahun terdahulu, saya percaya kita akan lebih berjaya pada tahun ini. Mengambil kesempatan ini saya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas pencapaian yang diperolehi untuk jabatan seperti penarafan 5 bintang bagi Audit Arahan Amalan oleh JKSM, pengekalan persijilan  ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014, pingat gangsa bagi Kategori Pembudayaan Hijau (Agensi Kerajaan) sempena Anugerah Hijau Negeri Melaka 2018 dan Gold Award untuk Konvensyen Kualiti dan Inovasi ICQCC di Singapura.

          Kita juga telah berjaya meneruskan program Mahabbah Syariah (Hari Bertemu Pelanggan), penganjuran Majlis Penyampaian Tauliah Peguam Syarie oleh Ketua Menteri dan penutup bagi tahun 2018 penglibatan dalam Majlis Penyampaian Watikah Hakim dan Pendaftar oleh Timbalan Yang Dipertuan Agong. Sekadar menyebut beberapa pencapaian 2018, yang saya percaya tidak akan tercapai kecuali dengan kesungguhan dan kerjasama semua pihak. Komitmen seperti ini mesti dikekalkan dan dipupuk setiap waktu, walau bukan bertujuan mendapat pengiktirafan sahaja tetapi lebih utama lagi, ianya adalah suruhan Nabi S.A.W.:

         "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti."              [Baihaqi].

         Seterusnya saya mengharapkan, agar semua warga mahkamah bertindak dengan bijak dalam menangani sumber yang terhad masakini, penggunaan bahan elektronik dioptimakan sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, pada masa yang sama kita mengotakan janji piagam pelanggan serta misi dan visi jabatan. Marilah kita berdoa, agar dipermudahkan segala urusan, keadilan dapat diberikan kepada pihak-pihak, pengurusan perbicaraan terurus dengan berkesan, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang perolehi halal dan diberkati insyaAllah.

 

Sekian, Wassalam.
Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.
Syariah Asas Keadilan

Y.A.A. Tuan Mohd Nadzri bin Abdul Rahman
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.