Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Mahkamah Tinggi Syariah

Profil

Terdapat dua buah Mahkamah Tinggi Syariah di Negeri Melaka yang mana kedua-duanya terletak di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Hakim yang membicarakan kes-kes di Mahkamah Tinggi Syariah ini terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Kanan dan Hakim Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi Syariah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dibantu oleh seorang pegawai Penyelidik, seorang Pendaftar, empat orang pembantu syariah, dan seorang bailiff. Mahkamah Tinggi Syariah juga dibantu oleh seorang Pegawai Sulh dari unit Sulh MSNM bagi menyelesaikan kes secara proses Sulh yang berbidangkuasa olehnya.

Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam ( Negeri Melaka 2002) telah menerangkan secara terperinci tentang bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Seksyen tersebut menyatakan seperti berikut:-

1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Melaka dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
2) Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.
3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
a) dalam bidangkuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalah yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam ( Negeri Melaka) [Enakmen No.12 Tahun 2002] atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan
b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:-
i. Pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian , pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dan isteri;
ii. Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
iii. Nafkah orang-orang tanggungan , kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan ( hadhanah) budak-budak;
iv. Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
v. Wasiat atau alang semasa marad-al-maut;
vi. Alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seorang orang islam;
vii. Wakaf atau nazr;
viii. Pembahagian dan perwarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
ix. Penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
x. Perisyhtiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
xi. Perisyhtaharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan
xii. Perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidangkuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis

Bidang Kuasa

Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa untuk mendengar, membicarakan dan memutuskan rayuan-rayuan terhadap keputusan yang dikeluarkan oleh hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Agama Islam ( Negeri Melaka 2002) telah menerangkan secara terperinci tentang bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Seksyen tersebut menyatakan seperti berikut:-

1) Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah:-

a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, oleh pendakwa atau oleh orang yang telah disabitkan , dan rayuan itu boleh sama ada terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana daripadanya; dan

b) Dalam bidang kuasa malnya-

i. Oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;

ii. Dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; dan

iii. Dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu,

tetapi tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; dan

c) Dalam apa-apa kes lain jika, Mahkamah Tinggi Syariah memberikan kebenaran untuk merayu.

2) Dalam mana-mana rayuan, Mahkamah Tinggi Syariah boleh-

a) Dalam perkara jenayah, menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan Mahkamah perbicaraan memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda bentuk hukuman, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda atau mengakaskan mana-mana perintah Mahkamah perbicaraan; dan

b) Dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan atau memerintahkan perbicaraan semula.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

1. Y.A Tn. Hj. Kamalludin Bin Hj. Mat Yasin
2. Y.A.A Tan Sri Dr. Haji Ibrahim Bin Lembut
3. Y.A.A Datuk Mahammad Bin Ibrahim
4. Y.A Datuk Haji Mohamad Bin Abdullah
5. Y.A Tn. Abu Zaki Bin Mohamad
6. Y.A Tn. Hj. Mohd Asri Bin. Hj. Tahir
7. Y.A Tn. Hj. Othman Bin Ibrahim
8. Y.A.A Datuk Hj. Mohd Radzi Bin Haji Abd Latif
9. Y.A Tn. Mohammad Khalid Bin Shaee @ Shaii