Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Perutusan Y.A.A Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Tahun 2016

 

Datuk Mohd Radzi

 bismillah

 Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

          Alhamdulillah marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan IzinNya tahun 2015 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Pertamanya, Saya ingin mengucapkan selamat melangkah ke tahun baru kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka dengan tekad dan azam baru demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Mudah-mudahan kedatangan tahun baru 2016 ini disambut dengan satu tekad diri yang kukuh dan dengan niat yang positif untuk terus memacu ke hadapan dengan penuh keazaman dan semangat yang kental serta penuh iltizam untuk kita mengharungi cabaran baru di tahun 2016. Di kesempatan ini  juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  yang komited serta memberikan komitmen dan kerjasama erat sepanjang tahun 2015 dan kedatangan tahun 2016 akan lebih mencabar keupayaan Jabatan supaya kekal relevan dan cemerlang sebagai Peneraju Perundangan Syariah di Negeri Melaka. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga usaha dan komitmen kita selama ini dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, mendapat keredaanNya. Dengan berakhirnya tahun 2015 ini, kita hendaklah menilai sejauh mana objektif, misi dan strategi jabatan sudah tercapai. Kita perlulah sentiasa membuat muhasabah diri dan membuat penilaian apakah kekurangan dan kelemahan yang harus diperbaiki. Perancangan yang tersusun perlu dilaksanakan agar kita dapat mengekalkan momentum kejayaan yang terus menjadi agenda utama Jabatan. Kita telah meninggalkan Tahun 2015 dengan beberapa kejayaan yang cemerlang, dan momentum serta semangat daripada kejayaan cemerlang tersebut haruslah diteruskan pada tahun 2016 ini untuk membuktikan kesungguhan seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan.


           Saya yakin ruang untuk menerapkan profesionalisme di kalangan warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka sentiasa terbuka luas dan kita berupaya untuk menjalankan tugas dengan tepat, berintegriti dan adil untuk menerajui perkhidmatan Kehakiman Syariah secara profesional bagi menjamin akses kepada keadilan melalui proses perundangan. Saya menyeru agar semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, memperkayakan pengalaman serta bertindak secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam menyumbang kepada budaya kerja berprestasi tinggi dalam menjalankan peranan Mahkamah Syariah sebagai satu Jabatan yang terus dihormati oleh masyarakat. Jika kita bersatu hati, berdisiplin serta mengamalkan tadbir urus yang baik, segala cabaran dan dugaan yang timbul pasti akan dapat diatasi. Justeru, saya ingin mengajak setiap warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  tanpa mengira apa jua pangkat, jawatan dan kedudukan untuk kita bergerak dan bekerja keras sebagai satu pasukan serta melaksanakan amanah ini dengan penuh keikhlasan. Berikanlah yang terbaik. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar kerana setiap sumbangan yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan pasti akan mendapat ganjaran yang sewajarnya.

Akhir kata saya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016 kepada semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Semoga tahun 2016 akan menjadikan kita seorang penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab untuk terus berkhidmat demi meningkatkan prestasi Jabatan kita.

Sekian, Wassalam. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.

 

Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.