Official Website

A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

PERUTUSAN YAA DATUK KETUA HAKIM SYARIE MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA HARI KEMERDEKAAN YANG KE 63 TAHUN 2020

PERUTUSAN YAA DATUK KETUA HAKIM SYARIE

MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA

HARI KEMERDEKAAN YANG KE 63

TAHUN 2020

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“MELAKAKU MAJU JAYA, RAKYAT BAHAGIA, MENGGAMIT DUNIA.”

ALHAMDULILLAH WA SHUKRU LILLAH, SEGALA PUJI BAGI ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM, YANG TELAH MEMANJANGKAN UMUR KITA DALAM KESIHATAN YANG BAIK DAN SEJAHTERA, SELAWAT DAN SALAM KEPADA RASUL JUNJUNGAN, MEMBAWA PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN.

HARI KEBANGSAAN PADA TAHUN INI BERTEMAKAN “MALAYSIA PRIHATIN”. TEMA INI AMAT BERTEPATAN DENGAN ASPIRASI YANG DIDUKUNG KERAJAAN, BAHAWA SELURUH RAKYAT MALAYSIA, SAMA ADA PENJAWAT AWAM, SEKTOR SWASTA, SUKARELAWAN NGO MAHUPUN ORANG PERSEORANGAN TURUT BERSAMA-SAMA MEMERANGI MUSUH DI KALA INI IAITU WABAK COVID-19. MANAKALA PRIHATIN MENUNJUKKAN INISIATIF KERAJAAN YANG MERANGKUMI ASPEK EKONOMI, KEBAJIKAN DAN KELANGSUNGAN RAKYAT MALAYSIA.

SATU PERKARA YANG TIDAK BOLEH DILUPAKAN, APABILA KITA DAPAT BERKUMPUL DALAM SUASANA YANG CUKUP AMAN DAN HARMONI, MAKA TIDAK ADA SESIAPA YANG BOLEH MENAFIKAN BAHAWA, IA ADALAH BERKAT JASA, BAKTI DAN PENGORBANAN PARA PERAJURIT SERTA ANGGOTA KESELAMATAN TANAH AIR.

NAMUN BEGITU PADA TAHUN INI, KITA BERHADAPAN DENGAN ANCAMAN WABAK YANG TIDAK DAPAT DILIHAT. PENGORBANAN DAN JASA BARISAN HADAPAN YANG JUGA TIDAK KENAL PENAT DAN LELAH BAGI MENJAMIN KESEJAHTERAAN DAN KESIHATAN RAKYAT MALAYSIA TIDAK DAPAT DINAFIKAN. IANYA PASTI TERPAHAT SEBAGAI SEJARAH YANG AKAN DIKENANG SEPANJANG ZAMAN.

BAGI KITA SEBAGAI KAKITANGAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA (MSNM), SAYA MENYERU AGAR KITA HARUSLAH JUGA PRIHATIN DENGAN SAMA-SAMA MERAIKAN HARI KEMERDEKAAN DENGAN SEMANGAT BERSAMA-SAMA MENYUMBANG TENAGA DAN BAKTI KEPADA MASYARAKAT SEBAIK MUNGKIN WALAUPUN DALAM KEADAAN NORMA BARU.

DIKESEMPATAN INI JUGA INGIN SAYA MERAKAMKAN SEKALUNG PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA KAKITANGAN MSNM YANG BERTUKAR KELUAR IAITU TUAN MOHD DHIAUDDIN BIN MOHAMAD YUSOF. SEGALA JASA, BAKTI DAN BUDI TUAN AKAN SENTIASA KAMI KENANG, SELAMAT MAJU JAYA DITEMPAT BARU. PASTINYA TUAN AKAN LEBIH CEMERLANG DALAM PEKERJAAN.

BAGI PUAN SAODAH BINTI ADNAN YANG BERTUKAR MASUK KE MSNM, SELAMAT DATANG SAYA UCAPKAN. SEMOGA KEHADIRAN PUAN AKAN MENAMBAHKAN LAGI MUTU PERKHIDMATAN DAN BERSAMA-SAMA MEMASTIKAN MSNM TERUS CEMERLANG. SAYA YAKIN DAN PERCAYA BAHAWA DENGAN PENGALAMAN DAN ILMU YANG ADA PADA PUAN PASTI AKAN MEMBERIKAN IMPAK YANG BAIK KEPADA MSNM.

SUKA SAYA BERPESAN, PATUHILAH SOP YANG DITETAPKAN DALAM NORMA BARU BAIK DALAM MELAKSANAKAN TUGAS MAHUPUN KEHIDUPAN SEHARIAN. JANGANLAH KITA SEMUA LEKA, KERANA PERJUANGAN KITA MASIH BELUM SELESAI SELAGI WABAK INI MENJADI ANCAMAN.

AKHIR KALAM, SAYA BERDOA SEMOGA ALLAH SWT MENGURNIAKAN KESEJAHTERAAN DAN KESIHATAN YANG BERPANJANGAN KE ATAS SELURUH WARGA MSNM, RAKYAT MALAYSIA SERTA SELURUH UMAT ISLAM. RAIKANLAH SAMBUTAN INI DENGAN PENUH RASA KEGEMBIRAAN BERSAMA-SAMA KELUARGA. SELAMAT HARI MERDEKA KE 63….!!!!

SEKIAN, WASSALAMMUALAIKUM W.B.T.

SYARIAH ASAS KEADILAN

YAA  DATUK MOHD NADZRI BIN ABDUL RAHMAN
KETUA HAKIM SYARIE,
MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA.

Perutusan YAA Datuk Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Aidiladha 1441H / 2020

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ALHAMDULILLAH WA SHUKRU LILLAH, SEGALA PUJI BAGI ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM, YANG TELAH MEMANJANGKAN UMUR KITA DALAM KESIHATAN YANG BAIK DAN SEJAHTERA, SELAWAT DAN SALAM KEPADA RASUL JUNJUNGAN, MEMBAWA PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN.

KEDATANGAN AIDIL ADHA SETIAP TAHUN SENTIASA MENGINGATKAN KITA TENTANG SEJARAH NABI IBRAHIM A.S DAN ANAKNYA NABI ISMAIL A.S. ALLAH SWT MENJADIKAN SEJARAH INI BERLAKU SEBAGAI PEDOMAN DAN PETUNJUK BAGI UMAT ISLAM UNTUK MENGORBANKAN HARTA DAN JIWA DEMI KEIMANAN KEPADA ALLAH SWT.

SEMPENA AIDIL ADHA INI MARILAH KITA SAMA-SAMA BERMUHASABAH DIRI DAN MENELUSURI SEJARAH PARA ANBIYA’ YANG SENTIASA TAAT DENGAN PERINTAH ALLAH DAN SANGGUP MEMBELANJAKAN SELURUH HARTANYA UNTUK AGAMA ISLAM YANG TERCINTA. BETAPA HEBAT DAN DAHSYATNYA PENGORBANAN MEREKA DEMI ISLAM. MAMPUKAH KITA MENGIKUT JEJAK LANGKAH MEREKA DENGAN MELAKUKAN PENGORBANAN YANG IKHLAS DAN KOMITED YANG HANYA MENGHARAPKAN KEREDHAAN ALLAH SWT.

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA TAHUN INI DALAM SUASANA NEGARA KITA MASIH LAGI DALAM USAHA MEMERANGI PENULARAN WABAK PANDEMIK COVID-19. KITA MASIH BERADA DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPP) SEHINGGA 31 OGOS 2020. SAMBUTAN AIDILADHA DAN IBADAH KORBAN DIBENARKAN TERTAKLUK KEPADA SOP PIHAK BERKUASA AGAMA ISLAM. WALAUBAGAIMANAPUN KENDURI DAN RUMAH TERBUKA YANG MEMBABITKAN KEHADIRAN ORANG RAMAI SEHINGGA MENYUKARKAN PENJARAKAN SOSIAL DAN PEMATUHAN SOP, TIDAK DIBENARKAN.

SEHUBUNGAN ITU, SUKA SAYA BERPESAN KEPADA SELURUH WARGA MSNM AGAR SENTIASA MEMATUHI SOP YANG TELAH DITETAPKAN DALAM APA JUA AKTIVITI SAMBUTAN AIDILADHA SAMADA ZIARAH MENZIARAH KAUM KELUARGA, MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN DAN SEBAGAINYA. BAGI YANG PULANG KE KAMPUNG MEMANDULAH DENGAN BERHEMAH. SEMOGA TUAN/PUAN SELAMAT SAMPAI KE DESTINASI DALAM KEADAAN SELAMAT DAN SEJAHTERA.

PADA KESEMPATAN INI JUGA, DENGAN NAWAITU MURNI LAGI PENUH TAWADUK DI HATI, SAYA MENYUSUN RAPI SEPULUH JARI, MEMOHON AMPUN SERTA KEMAAFAN ATAS SEBARANG KESALAHAN DAN KEKHILAFAN. MAAF ZAHIR MAHUPUN BATIN. SEMOGA KITA MENGAMBIL PENGAJARAN DI SEBALIK ERTI PENGORBANAN DAN MENGHAYATI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN.

AKHIR KALAM, SAYA BERDOA SEMOGA ALLAH SWT MENGURNIAKAN KESEJAHTERAAN KE ATAS SELURUH WARGA MSNM SERTA UMAT ISLAM UNTUK MENYAMBUT PERAYAAN INI DENGAN PENUH RASA KEGEMBIRAAN BERSAMA-SAMA KELUARGA.

INDAH LANGIT KERANA AWAN,
INDAH LAUT KERANA OMBAK KEBIRUAN.
INDAH AIDILFITRI KERANA KEMAAFAN
INDAH AIDILADHA KERANA PENGORBANAN

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA…..

SEKIAN,

WASSALAMMUALAIKUM W.B.T.

“MELAKAKU MAJU JAYA, RAKYAT BAHAGIA, MENGGAMIT DUNIA.”

“SYARIAH ASAS KEADILAN”

YAA DATUK MOHD NADZRI BIN HAJI ABDUL RAHMAN
KETUA HAKIM SYARIE,
MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA.

PERUTUSAN Y.A.A. KETUA HAKIM SYARIE MELAKA RAMADHAN 2020 / 1441H

ramadhan

PERUTUSAN Y.A.A. KETUA HAKIM SYARIE MELAKA

RAMADHAN 2020 / 1441H

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Alhamdulillah ucapan syukur kepada Allah SWT atas nikmat yang tidak terperi, selawat dan salam atas Nabi junjungan kasih yang tidak bertepi, begitu juga kepada ahli keluarganya, para sahabat dan pengikutnya sehingga ke hari kiamat.

Kita sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei 2020 atau sehingga ke satu tarikh yang diputuskan oleh pihak Kerajaan. Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat membantu para petugas kesihatan kita mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil.

Seperti mana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

Ramadhan kali ini sesungguhnya sangat luar biasa dan berbeza. Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Ramadhan tahun ini solatlah bersama suami atau ketua keluarga di rumah, kerana akan wujud imam-imam baru walaupun tidak bertauliah. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung untuk menyambut Ramadhan bersama keluarga seperti biasa.

Alangkah sedihnya segala kemeriahan dan kebiasaan itu kita terpaksa lepaskan untuk memastikan rantaian jangkitan wabak berbahaya COVID-19 dapat diputuskan dan ditamatkan. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi.

Semoga kita semua terus tabah dan bersabar menghadapi segala kesulitan susulan pergerakan kita seantero dunia kini dikekang dan terbatas. Semoga wabak tersebut segera berakhir di negara kita agar kita dapat kembali menghirup kehidupan normal kemeriahan Ramadhan dan Syawal.

Oleh itu, sebagai umat yang diwarisi al-Quran, marilah kita bersama menghiasi Ramadhan kali ini dengan bertalaqqi, bertadarrus, mentadabbur serta mengambil manfaat sebanyaknya dari Kalam Suci ini. Jadikan bulan ini sebagai bulan kita memaknai hidup dengan al-Quran.

firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.“

Saya ingin berpesan tentang beberapa perkara antaranya berhemahlah dalam berbelanja dan elakkanlah dari melakukan pembaziran. Membeli hanya yang diperlukan dan lazimi bersedekah.

Akhirnya dikesempatan ini, ingin saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan 1441H kepada semua warga kerja Mahkamah Syariah Negeri Melaka khususnya dan kepada Umat Islam umumnya beserta harapan semoga Ramadhan kali ini kita bertambah taqwa.

Sekian, Wassalam.

Syariah Asas Keadilan

Y.A.A. Datuk Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Perutusan YAA Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H

Banner AidilFitri Rasmi

 

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar


Alhamdulillah, dengan hidayah dan rahmat-Nya, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah Ramadan pada tahun ini. Maka kini tibalah masanya untuk kita melaungkan takbir kemenangan dan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Firman Allah SWT dalam Surah Baqarah ayat 185:-

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Kesan puasa Ramadan seharusnya menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera dan cintakan perdamaian. Jiwa dan hati seperti inilah bakal membentuk dan menjadikan kita ummah yang memiliki kesatuan yang teguh. Jiwa yang tenang dan damai akan cenderung mencari penyelesaian dengan tidak mendahulukan emosi berbanding akal.


Dalam rangka memacu keluarga Islam agar terus hidup dalam sakinah, mawaddah dan rahmah,  kita hendaklah  memelihara hati agar terus mengasihi dan menyayangi sesama pasangan dan saudara seIslam kita dan menjauhkan pergeseran serta perbalahan yang tiada berkesudahan. Walaupun ada perbezaan pandangan dan prinsip kehidupan, kita perlu cari titik persamaan agar kehidupan berkeluarga  terus cemerlang.Warga MSNM hendaklah menjadi role model dalam mencapai hasrat ini.


Kepada warga MSNM yang akan kembali ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan ini, saya ingin menasihatkan agar berhati-hati di jalan raya. Rancang perjalanan dengan baik dan periksa kenderaan sebelum bertolak. Dapatkan rehat secukupnya dan pastikan dalam keadaan bersedia sebelum memulakan perjalanan. Biarlah kepulangan masing-masing disambut dengan air mata kegembiraan oleh saudara mara bukannya tangisan kedukaan.
Sambutlah hari raya pada tahun ini dengan penuh kesederhanaan dan kemeriahan bersama ibu bapa dan keluarga tersayang serta saudara mara agar dapat mengeratkan lagi silaturahim serta merapatkan tali persaudaraan.


Pesanan saya juga kepada seluruh warga besar MSNM, jadikan Syawal ini satu titik mula kecemerlangan kita dalam kehidupan dan kerjaya kita. Tekad kita sematkan semula, azam kita kuatkan kembali, ingin menjadi warga kerja yang cemerlang terhadap Tuhannya dan sesama Manusia. InsyaAllah sama-sama kita pasak kembali misi dan tujuan ini dalam diri kita semoga kita mampu melahirkan generasi yang berjaya seimbang dunia dan akhirat.


Justeru, MSNM sebagai agensi yang melaksanakan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal keluarga Islam menyeru semua warga MSNM dan umat Islam keseluruhannya agar dapat memaknakan Ramadan yang telah berlalu dan diterjemahkan bermula Syawal ini dan seterusnya bulan-bulan mendatang untuk sama-sama membersihkan hati, mencari perdamaian dan penyelesaian seterusnya membina keluarga yang bahagia dan sentosa dalam menjamin generasi masa hadapan yang cemerlang.


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1440H  dan menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua warga MSNM khususnya dan juga kepada para pelanggan MSNM dan seluruh umat Islam umumnya beserta harapan semoga kita memiliki Jiwa yang Bahagia, agar Ummah Sejahtera.
Sekian
 
YAA Mohd Nadzri Bin Haji Abdul Rahman
1 Syawal 1440H
Bersamaan 5 Jun 2019M
 

 

Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2016

Koleksi Perutusan KHS Tahun 2016

 Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

          Alhamdulillah marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan IzinNya tahun 2015 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Pertamanya, Saya ingin mengucapkan selamat melangkah ke tahun baru kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka dengan tekad dan azam baru demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Mudah-mudahan kedatangan tahun baru 2016 ini disambut dengan satu tekad diri yang kukuh dan dengan niat yang positif untuk terus memacu ke hadapan dengan penuh keazaman dan semangat yang kental serta penuh iltizam untuk kita mengharungi cabaran baru di tahun 2016. Di kesempatan ini  juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  yang komited serta memberikan komitmen dan kerjasama erat sepanjang tahun 2015 dan kedatangan tahun 2016 akan lebih mencabar keupayaan Jabatan supaya kekal relevan dan cemerlang sebagai Peneraju Perundangan Syariah di Negeri Melaka. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga usaha dan komitmen kita selama ini dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, mendapat keredaanNya. Dengan berakhirnya tahun 2015 ini, kita hendaklah menilai sejauh mana objektif, misi dan strategi jabatan sudah tercapai. Kita perlulah sentiasa membuat muhasabah diri dan membuat penilaian apakah kekurangan dan kelemahan yang harus diperbaiki. Perancangan yang tersusun perlu dilaksanakan agar kita dapat mengekalkan momentum kejayaan yang terus menjadi agenda utama Jabatan. Kita telah meninggalkan Tahun 2015 dengan beberapa kejayaan yang cemerlang, dan momentum serta semangat daripada kejayaan cemerlang tersebut haruslah diteruskan pada tahun 2016 ini untuk membuktikan kesungguhan seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan.


           Saya yakin ruang untuk menerapkan profesionalisme di kalangan warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka sentiasa terbuka luas dan kita berupaya untuk menjalankan tugas dengan tepat, berintegriti dan adil untuk menerajui perkhidmatan Kehakiman Syariah secara profesional bagi menjamin akses kepada keadilan melalui proses perundangan. Saya menyeru agar semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, memperkayakan pengalaman serta bertindak secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam menyumbang kepada budaya kerja berprestasi tinggi dalam menjalankan peranan Mahkamah Syariah sebagai satu Jabatan yang terus dihormati oleh masyarakat. Jika kita bersatu hati, berdisiplin serta mengamalkan tadbir urus yang baik, segala cabaran dan dugaan yang timbul pasti akan dapat diatasi. Justeru, saya ingin mengajak setiap warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka  tanpa mengira apa jua pangkat, jawatan dan kedudukan untuk kita bergerak dan bekerja keras sebagai satu pasukan serta melaksanakan amanah ini dengan penuh keikhlasan. Berikanlah yang terbaik. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar kerana setiap sumbangan yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan pasti akan mendapat ganjaran yang sewajarnya.

Akhir kata saya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016 kepada semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Semoga tahun 2016 akan menjadikan kita seorang penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab untuk terus berkhidmat demi meningkatkan prestasi Jabatan kita.

Sekian, Wassalam. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.

Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

FaLang translation system by Faboba