Official Website

A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

MUZAKARAH HAKIM SYARIE MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA TAHUN 2021

24-26 November 2021 | 19-21 Rabiulakhir 1443H - Port Dickson, Negeri Sembilan – Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah mengadakan Muzakarah Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Tahun 2021 bertempat di Tasik Villa International Resort, Lukut, Port Dickson Negeri Sembilan bermula 24 hingga 26 November 2021 yang lalu. Muzakarah telah dimulakan dengan bacaan Yaasin yang dipimpin oleh Al Fadhil Tuan Shukeri Najib bin Ab Rahim, Hakim Kanan Mahkamah Rendah Syariah Negeri Melaka.

Program tersebut adalah program tahunan Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang menghimpunkan semua hakim syarie di semua peringkat Mahkamah Syariah di Negeri Melaka. Ia adalah suatu medan kepada para hakim syarie yang diketuai oleh YAA Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie untuk berbincang dan berbahas mengenai permasalahan undang-undang dan hukum syarak yang timbul sepanjang tahun 2021. Turut hadir ialah YA Tuan Abdul Razak bin Mat Nayan, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka, Ketua Pendaftar, Hakim Kanan Mahkamah Rendah Syariah Negeri Melaka, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah serta para Pegawai Penyelidik, Pegawai Sulh, Pegawai Bahagian Sokongan Keluarga, Penolong-penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Perbincangan isu permasalahan pada tahun ini ialah berkaitan pengendalian perintah/penghakiman bersaling, bon jamin, format perintah/penghakiman, SOP tuntutan isteri Kembali taat dan SOP pengendalian saman dan pernyataan tuntutan. Pada kali ini, Muzakarah bekerjasama dengan Sekretariat Geran Penyelidikan MSNM untuk bersama-sama mewujudkan keseragaman dan penyelarasan SOP Tuntutan Isteri Kembali Taat dan SOP Pengendalian Saman Dan Pernyataan Tuntutan untuk digunapakai di semua peringkat Mahkamah.

Mengambil peluang penganjuran Muzakarah pada kali ini, pihak Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi MSNM telah memberikan sumbangan kepada Sembilan (9) pegawai MSNM yang dijangkiti Covid 19 dan empat (4) orang pegawai MSNM yang terlibat dengan musibah banjir pada tahun ini. Sebelum melabuhkan tirai untuk penganjuran tahun 2021, YAA Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie MSNM memberikan amanat kepada para hakim syarie dan pegawai MSNM untuk bekerja secara sistematik dan bijak. Para hakim syarie juga digalakkan untuk memperbanyakkan alasan penghakiman dan menambahbaik mutu alasan penghakiman. Muzakarah diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan kepada semua peserta Muzakarah.

Muzakarah Hakim PD Muzakarah Hakim 2021 Muzakarah Hakim 2021
Muzakarah Hakim 2021 Muzakarah Hakim 2021

Tahniah Aura Kesidang atas Anugerah Par Excellence ICQCC 2021 Hyderabad India

24-27 November 2021 | 19-22 Rabiulakhir 1443H  - Kumpulan Aura Kesidang Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah menyertai 46th International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2021 Hyderabad India anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang bermula pada 24 hingga 27 November 2021. Pertandingan kali ini telah diadakan secara atas talian dan kumpulan Aura Kesidang telah membuat persembahan pada 25 November 2021 (Hari Pertama). Penyertaan daripada Malaysia pada kali ini adalah melibatkan 81 kumpulan daripada 50 organisasi. Kumpulan Aura Kesidang ini dianggotai oleh Puan Aisah Saleh, Puan Norazita Mohd Ali, Cik Siti Aishah binti Kamarudin, Tuan Mohd Muzzammil Aziz dan Tuan Ahmad Hamidi Semaon, manakala fasilitator adalah Tuan Mohamad Zulkhairi Aziz, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Projek yang dibawa pada kali ini adalah EZ Court. Kumpulan Aura Kesidang telah dianugerahkan dengan PAR EXCELLENCE AWARD. Tahniah dan sekalung penghargaan kepada kepada YAA Datuk Mohd Nadzri bin Hj Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie,  pengurusan tertinggi serta warga kerja MSNM yang telah banyak membantu kumpulan sepanjang projek ini berjalan dan sentiasa menyokong padu sehingga kumpulan mencapai kejayaan ini.

ICQCC 2021 ICQCC 2021 ICQCC 2021
ICQCC 2021 ICQCC 2021 ICQCC 2021
ICQCC 2021 ICQCC 2021 ICQCC 2021

Disediakan oleh
Sekretariat Inovasi MSNM

Bengkel Pelupusan Rekod Bil. 3 Bagi Tahun 2021

23 November 2021 | 18 Rabiulakhir 1443H (Selasa) - Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah berjaya melaksanakan Bengkel Pelupusan Rekod Bil. 3 bagi tahun 2021 anjuran Unit Rekod Mahkamah Syariah Melaka bermula 23 November 2021 hingga 26 November 2021. Pelaksanaan kerja-kerja Pelupusan yang dilaksanakan adalah melibatkan Fail Kes Mal Tahun 2010 dan Fail kes Jenayah tahun 2016 hingga 2017 bagi Dewan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Melaka Tengah dengan sasaran pelupusan berjumlah 3,629 Fail. Pelupusan ini dijalankan dengan kebenaran ARKIB Negara. Objektif Pelaksanaan Pelupusan Rekod ini adalah bagi memastikan penyimpanan rekod-rekod penting kekal terpelihara di samping mengatasi permasalahan ruang penyimpanan Fail.

Pelupusan Rekod 2021 Pelupusan Rekod 2021
Pelupusan Rekod 2021 Pelupusan Rekod 2021

MESYUARAT PEMBUKAAN AUDIT DALAM ISO 9001:2015 DAN MS 1900:2014

12 Julai 2021 | 2 Zulhijjah 1442H (Isnin) - Mesyuarat Pembukaan Audit Dalam telah dilaksanakan pada pagi ini jam 10.00 pagi oleh Jawatankuasa Audit Dalam ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 melalui aplikasi Webex. Tuan Mohammad Zulkhairi Bin Aziz, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka dalam ucapan alu-aluan beliau telah menyeru agar semua auditee memberi kerjasama sepanjang audit dalam dijalankan.

Ketua Audit Dalam, Tuan Mohd Zamri Bin Zainuddin dan Tuan Mohd Muzzammil Bin Aziz dalam taklimat mereka menerangkan bahawa pengauditan akan dilaksanakan pada semua peringkat Mahkamah bermula pada 12 hingga 23 Julai 2021. Semoga pengauditan berjalan dengan lancar.

Pembukaan Audit Dalam ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014

Pembukaan Audit Dalam ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014

BICARA SANTAI MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA SIRI 1 2021

9 Julai 2021 | 28 Zulkaedah 1442H (Jumaat) - Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah mengadakan "BICARA SANTAI MSNM SIRI 1" sebagai medium perkongsian ilmu bertajuk "Prosiding Saman Penghakiman" secara dalam talian menggunakan aplikasi Webex pada jam 10.00 pagi. Program ini telah disertai seramai 22 orang pegawai dan kakitangan MSNM. Slot pada hari ni dibentang oleh Cik Siti Aishah Binti Kamarudin, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Melaka dan Puan Aisah Binti Saleh, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Jasin.

Dalam ucapan aluan oleh Tuan Mohd Zulkhairi bin Aziz, Ketua Pendaftar, beliau menyeru agar ianya dapat dijadikan secara berkala dan cetusan idea YAA Datuk Mohd Nadzri Bin Hj Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie ini adalah sangat penting bagi mencari kata sepakat dan penyelarasan bagi semua dewan Mahkamah di Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Pelbagai isu telah dapat diselesaikan dan pandangan serta idea telah dilontarkan dalam perbincangan ini. YAA Datuk Mohd Nadzri Bin Hj. Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie MSNM dalam ucapan penutup nya berharap agar program seperti ini dapat memberikan kefahaman tentang isu-isu perundangan yang timbul dan suatu resolusi dapat dicapai.
Program berakhir pada jam 12.15 tengahari dengan bacaan tasbih kaffarah dan surah Al-Asr.

Bicara Santai MSNM

Bicara Santai MSNM

Bicara Santai MSNM

FaLang translation system by Faboba