Official Website

A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Mahkamah Syariah Negeri Melaka Tempa Sejarah Melaksanakan Majlis Penerimaan Masuk Peguam Syarie Secara Atas Talian (“Online”)

24 Februari 2021 | 12 Rejab 1442H (Rabu) - Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) dengan kerjasama Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Melaka telah melakar sejarah dengan menganjurkan program Majlis Penerimaan Masuk Peguam Syarie Negeri Melaka Siri 1 Tahun 2021 secara atas talian menggunakan aplikasi Cisco WEBEX bertempat di Dewan Mahkamah Rayuan Syariah, Aras 4 MSNM sejajar dengan norma baharu untuk membendung penularan pandemik Covid-19.


Menurut jurucakap program tersebut, Puan Jamiah binti Husin, “ini adalah pertama kali program penerimaan masuk Peguam Syarie dibuat melalui atas talian (“online”) dan saya bersyukur ianya berjalan lancar seperti yang diharapkan”. Pada tahun-tahun sebelumnya, Majlis Penerimaan Masuk Peguam Syarie yang baharu ini dilaksanakan secara bersemuka dalam dewan Mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang disusuli dengan Majlis Penyampaian Tauliah Peguam Syarie oleh YAB Ketua Menteri, tetapi pada tahun ini kami terpaksa melaksanakannya secara atas talian kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.


Pemohon yang terlibat dalam penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie Negeri Melaka adalah seramai 75 orang yang mana telah melalui peringkat peperiksaan bertulis, temuduga, kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan kemudian diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (SPB YDPA).
Majlis Penerimaan masuk ini dibuat sebanyak 5 sesi dan telah berlangsung dengan lancar di mana pengisytiharan telah dibuat di hadapan YAA Datuk Mohd Nadzri Bin Hj.Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM). Majlis Penerimaan Masuk Peguam Syarie kali ini juga melibatkan YA Tuan Abd Razak Bin Mat Nayan, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah, YA Tuan Azmi Bin Ibrahim, Tuan Shukeri Najib Bin Ab Rahim, dan Tuan Mohd Saifuddin Bin Othman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.


Turut hadir dalam Majlis Penerimaan Masuk secara maya ini ialah Tuan Mohammad Zulkhairi Bin Aziz, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka selaku Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Melaka dan Penyelaras Jawatankuasa Pelaksana Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2021, Datuk Adli bin Ithnin, Presiden Persatuan Peguam Syarie Negeri Melaka, wakil-wakil Persatuan Peguam Syarie, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah, pegawai-pegawai kanan dan semua warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka termasuk majikan dan ahli keluarga Peguam Syarie terbabit.
Seramai 5 orang Peguam Pengusul (Mover) yang mewakili Peguam-Peguam Syarie tersebut yang diketuai oleh Ybhg. Datuk Haji Mohd Adli Bin Ithnin, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Cawangan Negeri Melaka dan 4 orang wakil Persatuan Peguam Syarie yang lain.


YAA Datuk Mohd Nadzri Bin Hj Abdul Rahman (Ketua Hakim Syarie) dalam ucapan pembukaannya mengucapkan tahniah kepada 75 orang Peguam Syarie yang diterima masuk untuk beramal di Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Negeri Melaka dan menyaran semua peguam-peguam Syarie yang baharu dilantik untuk berguam di negeri Melaka supaya kekal mematuhi etika dan adab Peguam Syarie, sama ada mereka berada di dalam atau di luar dewan mahkamah, mengamalkan sikap profesional dalam semua aspek dan memberikan bantuan khidmat sosial kepada pelanggan dengan penuh etika, adab serta mematuhi kehendak hukum Syarak sejajar dengan kehendak Arahan Amalan No. 4 Tahun 2002 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).


Beliau juga menyarankan agar peguam syarie mengelakkan diri dari memberi komen-komen yang tidak wajar kepada mahkamah, mengawal diri dari penulisan-penulisan negatif sama ada melalui media atau apa jua bentuk komunikasi yang bertentangan dengan mahkamah dan hukum Syarak serta berusaha menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan pihak mahkamah.
Program bermula jam 8.30 pagi dan selesai sepenuhnya jam 5 petang turut dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri dari Peguam Syarie, Peguam Pengusul dan penyarung jubah serta keluarga peserta yang dibuat secara maya.

 

peguamonline 1 peguamonline 2 peguamonline 3
peguamonline 4 peguamonline 5 peguamonline 6
FaLang translation system by Faboba