Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2015


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita semua masih diberi peluang untuk terus menjalankan amanah dan berbakti di muka bumi Allah ini. Tahun 2014 telah meninggalkan kita, namun begitu segala usaha-usaha murni yang telah dirancang perlu diteruskan pada tahun 2015. Semoga semangat bekerja berpasukan, kegigihan dan keikhlasan kita semua dalam memenuhi amanah dan tuntutan kepada agama, bangsa dan negara akan terus diberkati dan mencapai matlamat yang dihasratkan. Semoga dengan kehadiran Tahun Baru ini, memberi lebih sinar dan harapan buat semua. Dengan kesempatan yang diberikan ini, saya mengharapkan kita dapat menggunakan dengan sepenuh manfaat yang ada di samping memperbaiki prestasi ke arah yang lebih baik.
Selaku Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM),harapan saya amat besar, khususnya kepada warga MSNM. Banyak perkara yang masih boleh dipertingkatkan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat. Alhamdulillah, sepanjang tahun 2014 pebagai kejayaan yang telah berjaya kita kecapi bersama. Semoga tahun 2015 ini, kita dapat meneruskan lagi serta menambahbaik usaha-usaha kita semua bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan. Terima kasih juga kepada para pekerja lain yang banyak memberi komitmen yang jitu serta kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bagi. Saya percaya, jika kelestarian serta penambaikan ini dilakukan dengan penuh disiplin dan komited, Mahkamah Syariah akan menjadi satu badan yang dipandang mulia dan dihormati seantero dunia.
Pada masa kini, perjalanan dalam melalui liku zaman transformasi era multimedia yang semakin canggih dan komunikasi berorientasikan maklumat tanpa sempadan, bukan sedikit cabaran yang bakal dihadapi. Lantaran itu, warga MSNM perlu menyiapkan diri dalam mencipta modal insan yang berpengetahuan, kreatif, inovatif serta berdaya saing, disamping memerlukan kekuatan dan kerjasama semua pihak antara kakitangan dan jalinan mesra bersama pelanggan dan orang awam, harus dipupuk demi kemajuan Syariah dan agama Islam.
Di akhir perutusan ini, saya berharap agar kita semua sentiasa berada dalam Rahmat Allah SWT. Apa yang kita lakukan pada hari ini semoga membuahkan hasil di akhirat kelak. Saya akhiri kalam ini dengan ucapan Salam Sejahtera kepada semua.
Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.