Perutusan Ketua Hakim Syarie Tahun 2016
Alhamdulillah marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan IzinNya tahun 2015 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Pertamanya, Saya ingin mengucapkan selamat melangkah ke tahun baru kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka dengan tekad dan azam baru demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Mudah-mudahan kedatangan tahun baru 2016 ini disambut dengan satu tekad diri yang kukuh dan dengan niat yang positif untuk terus memacu ke hadapan dengan penuh keazaman dan semangat yang kental serta penuh iltizam untuk kita mengharungi cabaran baru di tahun 2016. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang komited serta memberikan komitmen dan kerjasama erat sepanjang tahun 2015 dan kedatangan tahun 2016 akan lebih mencabar keupayaan Jabatan supaya kekal relevan dan cemerlang sebagai Peneraju Perundangan Syariah di Negeri Melaka. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga usaha dan komitmen kita selama ini dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, mendapat keredaanNya. Dengan berakhirnya tahun 2015 ini, kita hendaklah menilai sejauh mana objektif, misi dan strategi jabatan sudah tercapai. Kita perlulah sentiasa membuat muhasabah diri dan membuat penilaian apakah kekurangan dan kelemahan yang harus diperbaiki. Perancangan yang tersusun perlu dilaksanakan agar kita dapat mengekalkan momentum kejayaan yang terus menjadi agenda utama Jabatan. Kita telah meninggalkan Tahun 2015 dengan beberapa kejayaan yang cemerlang, dan momentum serta semangat daripada kejayaan cemerlang tersebut haruslah diteruskan pada tahun 2016 ini untuk membuktikan kesungguhan seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka bagi terus mencipta kejayaan demi kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan.
Y.A.A. Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.