Laman Web Rasmi

A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Perutusan YAA Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H

Banner AidilFitri Rasmi

 

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar


Alhamdulillah, dengan hidayah dan rahmat-Nya, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah Ramadan pada tahun ini. Maka kini tibalah masanya untuk kita melaungkan takbir kemenangan dan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Firman Allah SWT dalam Surah Baqarah ayat 185:-

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Kesan puasa Ramadan seharusnya menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera dan cintakan perdamaian. Jiwa dan hati seperti inilah bakal membentuk dan menjadikan kita ummah yang memiliki kesatuan yang teguh. Jiwa yang tenang dan damai akan cenderung mencari penyelesaian dengan tidak mendahulukan emosi berbanding akal.


Dalam rangka memacu keluarga Islam agar terus hidup dalam sakinah, mawaddah dan rahmah,  kita hendaklah  memelihara hati agar terus mengasihi dan menyayangi sesama pasangan dan saudara seIslam kita dan menjauhkan pergeseran serta perbalahan yang tiada berkesudahan. Walaupun ada perbezaan pandangan dan prinsip kehidupan, kita perlu cari titik persamaan agar kehidupan berkeluarga  terus cemerlang.Warga MSNM hendaklah menjadi role model dalam mencapai hasrat ini.


Kepada warga MSNM yang akan kembali ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan ini, saya ingin menasihatkan agar berhati-hati di jalan raya. Rancang perjalanan dengan baik dan periksa kenderaan sebelum bertolak. Dapatkan rehat secukupnya dan pastikan dalam keadaan bersedia sebelum memulakan perjalanan. Biarlah kepulangan masing-masing disambut dengan air mata kegembiraan oleh saudara mara bukannya tangisan kedukaan.
Sambutlah hari raya pada tahun ini dengan penuh kesederhanaan dan kemeriahan bersama ibu bapa dan keluarga tersayang serta saudara mara agar dapat mengeratkan lagi silaturahim serta merapatkan tali persaudaraan.


Pesanan saya juga kepada seluruh warga besar MSNM, jadikan Syawal ini satu titik mula kecemerlangan kita dalam kehidupan dan kerjaya kita. Tekad kita sematkan semula, azam kita kuatkan kembali, ingin menjadi warga kerja yang cemerlang terhadap Tuhannya dan sesama Manusia. InsyaAllah sama-sama kita pasak kembali misi dan tujuan ini dalam diri kita semoga kita mampu melahirkan generasi yang berjaya seimbang dunia dan akhirat.


Justeru, MSNM sebagai agensi yang melaksanakan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal keluarga Islam menyeru semua warga MSNM dan umat Islam keseluruhannya agar dapat memaknakan Ramadan yang telah berlalu dan diterjemahkan bermula Syawal ini dan seterusnya bulan-bulan mendatang untuk sama-sama membersihkan hati, mencari perdamaian dan penyelesaian seterusnya membina keluarga yang bahagia dan sentosa dalam menjamin generasi masa hadapan yang cemerlang.


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1440H  dan menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua warga MSNM khususnya dan juga kepada para pelanggan MSNM dan seluruh umat Islam umumnya beserta harapan semoga kita memiliki Jiwa yang Bahagia, agar Ummah Sejahtera.
Sekian
 
YAA Mohd Nadzri Bin Haji Abdul Rahman
1 Syawal 1440H
Bersamaan 5 Jun 2019M
 

 

FaLang translation system by Faboba