Muzakarah Jabatan/Agensi Agama Negeri Melaka Tahun 2015
Istimewanya, muzakarah kali ini turut disertai oleh Jabatan Bantuan Guaman Melaka dengan kehadiran YBhg Puan Pengarah sendiri dengan matlamat bersama-sama membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Majlis Perasmian Pembukaan Muzakarah telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Wira Yaakub Bin Md Amin, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka pada 15 Disember 2015 bersamaan hari Selasa bermula pada jam 8.30 malam. Dalam acara perasmian berkenaan, peserta telah ditayangkan dengan tayangan montaj yang menunjukkan gambar-gambar yang dirakam semasa muzakarah kali pertama. Selain itu, peserta muzakarah turut menyaksikan penyerahan resolusi muzakarah kali pertama oleh YAA Datuk Hj Mohd Radzi Bin Hj Abd Latif, Ketua Hakim Syarie mewakili jabatan / agensi agama kepada Timbalan Pengerusi MAIM sebagai tanda kejayaan perjalanan muzakarah yang terdahulu.

Timbalan Pengerusi MAIM turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua jabatan / agensi agama yang terlibat dan beliau meletakkan keyakinan bahawa muzakarah ini perlu diteruskan di masa akan datang sebagai medium perbincangan pengurusan hal ehwal agama Islam bagi negeri Melaka.

Muzakarah kali kedua ini merupakan kesinambungan kepada muzakarah kali pertama yang telah diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Johor Bahru pada Disember 2014, yang mana telah berjaya menyelesaikan semua pembentangan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam muzakarah kali pertama.

Antara isu yang telah memperoleh penyelesaian ialah berkenaan penubuhan Pusat Bimbingan Islam; pengurusan tangkapan OKT dalam tempoh 24 jam; pengurusan kes Permohonan Wali Hakim dan Kebenaran Nikah Di Bawah Umur; pentadbiran Mufti dan fatwa; pengajaran agama Islam; sempadan kariah; pendaftaran perkahwinan tanpa kebenaran; pengiktirafan perkahwinan pasangan bukan warganegara; pendaftaran perceraian tanpa kebenaran Mahkamah; pendaftaran perkahwinan pasangan muallaf; dan tafsiran seksyen 4 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002.
Berita dan Gambar Disediakan Oleh: En. Mohd Hafiidz Bin Azman