Laman Web Rasmi

A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

PERUTUSAN Y.A.A. KETUA HAKIM SYARIE MELAKA 2021

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala pujian hanya bagi Allah SWT yang memberi nikmat dan rahmat sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Syukur kehadrat Ilahi dengan limpah dan kurnianya dapat kita harungi tahun 2020 walaupun pelbagai halangan dan rintangan. Sedikit sebanyak ianya telah mematangkan kita dikala negara tercinta dilanda wabak pandemik Covid -19. Pastinya kita perlu lebih bersedia untuk menghadapi tahun 2021 yang lebih mencabar.

Di kesempatan ini saya mengambil ruang dan peluang untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM), di atas komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan dalam melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan sepanjang tahun 2020, sehingga kita berjaya melabuhkan tirai tahun ini. Tidak lupa juga buat semua pelanggan MSNM dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan cakna kepada perkembangan MSNM.

Kedatangan tahun 2021 sudah pasti akan menjanjikan cabaran yang lebih hebat kepada warga kerja MSNM. Sayugia itu, saya menyeru agar kita semua terus bersatu hati dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran mendatang, yang pastinya menjadi nilai yang perlu dibayar oleh kita dalam mencapai kecemerlangan. Kita hendaklah sentiasa mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan cemerlang dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Selain itu, segala “Standard Operation Procedure” (SOP) dan arahan berkaitan pencegahan penyebaran wabak Covid-19 hendaklah dipatuhi dan diutamakan semasa melaksanakan tugas dalam norma baharu.

Pelaksanaan agenda 2021 MSNM perlu dirancang dengan lebih kreatif dan inovatif bagi mencapai visi dan misi jabatan. Ini amat penting sebagai strategi pelaksanaan agenda 2021 agar segala keputusan dan tindakan yang dilaksanakan akan menjadi lebih sistematik, teratur dan berkesan ke arah membentuk hala tuju yang jelas, selaras dengan undang-undang dan memberi manafaat serta memenuhi kehendak pelanggan. Namun jangan dilupakan, pelaksanaan agenda yang berjaya dilaksanakan tahun sebelum perlu diteruskan serta ditambah baik dan mencari solusi pada setiap kelemahan yang dikenalpasti agar perkhidmatan MSNM lebih efisien.

Kepada pegawai yang bertukar keluar saya rakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa dan khidmat bakti sepanjang berkhidmat di MSNM, semoga lebih cemerlang ditempat yang baru. Tidak lupa juga ucapan tahniah kepada pengerusi dan semua ahli jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Sukan Mahkamah Syariah Negeri Melaka yang senantiasa cakna kepada kebajikan kakitangan Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Akhir kata dengan semangat tahun baru saya menyeru seluruh warga kerja MSNM untuk mempertingkatkan keazaman dan semangat jati diri untuk membawa MSNM ke mercu kecemerlangan. Berbekalkan usaha yang lebih gigih, disiplin yang tinggi serta berpegang pada nilai-nilai dalam kehidupan, MSNM pasti akan lebih cemerlang pada tahun 2021. Semoga segala segala sumbangan dan niat suci murni serta semangat kental yang kita semua warisi untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang di Tahun 2021 akan menjadi satu kenyataan serta ibadah yang sentiasa memperolehi keberkatan dari Allah SWT, InsyaAllah.

“Selamat Tahun Baru 2021”.

Sekian, Wassalam.

Syariah Asas Keadilan

Y.A.A. Datuk Nadzi bin Abdul Rahman
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka

FaLang translation system by Faboba